Airmata Palestin



email: "azzlie@gmail.com"

Palestin,
62 tahun dirimu bermandi darah,
namun apa yang mampu kami lakukan?
mampu lihat?
mampu buat?
dari jauh...
berasa sedikit marah,
mengomel-ngomel di kedai kopi,
dan kehidupan kami seperti biasa,
mencari rezeki buat mengisi perut kami
asal sahaja deritamu tidak berjangkit pada kami
itu sudah sejuta nikmat
dari Illahi

Palestin
Bukan dirimu yang tidak bermaya,
tapi kamilah yang malang,
yang tidak berdaya berbuat sesuatu
hanya mampu melihat,
bersedih sebentar,
kemudian kembali ke rumah
dan tidur lena diulit mimpi
esoknya memori kami sudah hilang
lupa apa yang dilihat dan dirasai semala


Palestin
Bukan dirimu yang merana
tapi kamilah yang bakal merana
membiarkan saudara-saudara kami
disembelih dan dibunuh
tanpa dapat berbuat apa-apa
kamu memperolehi syahid
sedangkan kami menanti azab
kerana tidak merasakan apa-apa
atas nasib saudara kami

Palestin
mereka punya ibu
mereka punya bapa
mereka punya saudara lelaki
mereka punya saudara perempuan
seperti juga kita
kita sambut hari ibu dan bapa
dengan hadiah
tetapi mereka sambut dengan bom dan air mata
meratapi kematian ibu
lalu kita hanya membiarkan mereka diratahi
tentera zionis dan sekutu
sedangkan kita setiap hari bersama keluarga
dengan aman bahagia
sedangkan kita mengaku bersaudara

Palestin
malu sungguh kami berkata
rintihanmu jua rintihan kami
sedangkan kami hanya mampu menghulur
sekeping duit seringgit
dan dua tangan yang menghulur memohon doa
sedang pemimpin kami
berteater dan berdrama
konon memarahi Israel dan Amerika
sedangkan merekalah sahabat karibnya

Tuhan
ampunkan kami
atas kelemahan kami
membiarkan saudara kami dicabul dan dihina
Palestin
kasihanilah kami
janganlah sampai kami dicampak ke neraka jahanam
atas pendakwaanmu kepada kami nanti
atas kealpaan dan kebodohan kami

Ummah,
kami merindukan amirul mukminin
yang mendengar rintihan ummahnya
yang menghantar tentera membela wanita dan anak-anak
yang membela negara dan bangsa
yang membela rakyat yang diperkosa dan disembelih
dari tentera-tentera kuffar
kami rindukan Saidina Umar
yang membuka Palestin
penuh keamanan
kami rindukan Salahuddin Al-Ayubi
yang membebaskan tanahair tercinta ini
dari kehancuran dan kerosakan
bimbinglah kami
untuk menjadi mujahid-mujahid Islam
yang cintakan syahid
dan mati kerana ummah