KUALA LUMPUR 28 Jan. — Anggota Wanita UMNO Bahagian Batu, Nor Asiah Rajab, digantung keahliannya dalam parti selama enam tahun kerana didapati bersalah membuat aduan palsu.
Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail memberitahu sidang akhbar di sini hari ini bahawa tindakan itu, yang berkuatkuasa 23 Jan ini, diambil mengikut Perkara 5.4 Tataetika Ahli UMNO.
Anggota UMNO Bahagian Taiping, Muzamir Ismail, yang merupakan seorang penulis blog, pula digantung selama setahun setelah didapati bersalah menyebarkan gambar tidak sopan dalam blog, fitnah dan menjadi ejen kepada pihak lain.
Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, tiga anggota lagi didapati bersalah melanggar tataetika parti dan telah diberi amaran hasil perbicaraan yang berlangsung akhir Disember lepas.
Mereka ialah Setiausaha Bahagian Bukit Bintang Mohd. Zailan Mokhtar yang bersalah berhubung dakwaan mengamalkan politik wang, anggota Umno Bahagian Permatang Pauh Mohd. Zaidi Mohd. Said kerana menggunakan pengaruh tidak wajar dan menyebarkan fitnah, dan anggota UMNO Bahagian Langkawi, Shaidan Hashim, kerana menjadi ejen atau pelobi pengurus kempen. - Bernama
No comments:
Post a Comment