KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Polis akan menyerahkan kertas siasatan berhubung kematian A. Kugan ketika ditahan dalam lokap polis kepada pejabat Peguam Negara pada Rabu ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata kertas siasatan akan siap sepenuhnya pada Selasa selepas beberapa lagi saksi memberikan keterangan.
"Semalam kita telah selesai mengambil keterangan daripada 11 anggota polis yang bertugas ketika kematian Kugan. Selain mereka, kita juga telah memanggil beberapa orang saksi yang terlibat ketika Kugan ditahan dan ketika dia meninggal dunia.
"Keterangan saksi-saksi ini amat penting dalam membantu siasatan kes kematian Kugan. Siasatan telah dijalankan secara profesional dan adil oleh pasukan khas Bukit Aman," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Khalid berkata saksi yang diambil keterangan termasuklah individu yang melihat polis menahan Kugan pada 15 Jan lepas.
Katanya keterangan saksi penting ini akan selesai dirakam selewat-lewatnya malam ini.
Sementara itu, beliau berkata laporan bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat Kugan semalam tidak akan ada campur tangan polis.
"Bedah siasat itu adalah satu bedah siasat bebas dan saya harap pihak yang terlibat tidak membuat spekulasi bahawa polis akan campur tangan dalam hasil laporan itu nanti," katanya. [read more]
No comments:
Post a Comment