"Potong Jari Jika UMNO Berani Berubah"

pendikargunung |
Setiap kali tewas pilihanraya, pemimpin-pemimpin UMNO kelihatan seperti cacing kepanasan. Bermula dengan kekalahan dalam PRU ke-12, PRK Permatang Pauh dan baru-baru ini PRK Kuala Terengganu, demam UMNO nampak seperti tidak kebah-kebah.

Tapi demam lepas PRK Kuala Terengganu ini nampak seperti lebih dahsyat dari demam selepas PRU ke-12 dan PRK Permatang Pauh dahulu. Mungkin pemimpin-pemimpin UMNO fikir mereka boleh bangun semula di Kuala Terengganu selepas 2 siri kekalahan sebelum ini. Lagipun Kuala Terengganu adalah kerusi milik BN bukan kerusi milik PR seperti di Permatang Pauh. Suatu lagi berdasarkan sejarah lampau BN selalu keluar sebagai pemenang dalam PRK, malah kawasan yang secara tradisi dipegang pembangkang pun seperti DUN Permatang Pasir dan Parlimen Pendang pernah mereka rebut dalam PRK.

Tetapi dalam PRK di Kuala Terengganu baru-baru ini mereka tewas dengan majoriti besar. Rasa malu akibat kalah menyebabkan ramai pemimpin UMNO yang meracau. Lalu pelbagai yang mereka katakan tentang parti UMNO, sesetengahnya adalah kata-kata yang selama ini keluar dari mulut PAS, PKR dan DAP. Lihat apa yang pemimpin-pemimpin UMNO katakan terhadap parti mereka dan rakan-rakan mereka:
  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak: Pemimpin Umno kurang mesra dengan pengundi.
  • Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin: UMNO telah hilang daya penarik terutamanya di kalangan orang muda.
  • Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato Seri Khir Toyo: Imej BN ketinggalan zaman
  • Exco Pemuda Umno, Datuk Idris Haron: Umno hilang daya tarikan di kalangan rakyat kerana masih terikat dengan cara lama.
  • Ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Wan Ahmad: Pengundi wanita di kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.
  • Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Razali Ibrahim: Pemimpin Umno kini kurang mesra dengan rakyat sehingga menimbulkan tanggapan bahawa parti itu tidak mesra rakyat.
  • Timbalan Pengerusi UMNO Perlis, Dato Zahidi Zainul Abidin: Orang Melayu kini muak dengan UMNO
Kata-kata beberapa orang kuat UMNO itu seolah-olah menggambarkan UMNO telah insaf dan ingin berubah agar kembali diterima rakyat. Tetapi adakah UMNO akan berubah dan jika berubah bagaimana bentuk perubahan itu?

Beberapa hari lepas saya ada bercakap dengan seorang bekas pemimpin UMNO di peringkat Bahagian yang kini menyeberang ke parti lain di bawah PR. Dia tidak percaya UMNO akan berubah kerana berdasarkan pengalamannya parti itu lebih berpaksikan wang dan kuasa. Katanya UMNO bukan cuma setakat parti politik tetapi sebuah syarikat yang berasaskan perniagaan. Ramai pemimpin yang berjuang untuk wang dan kuasa dan bukan untuk rakyat. Rakyat pula semakin cerdik dan dapat menilai pemimpin-pemimpin mereka. Apabila mereka nampak pemimpin hanya mementingkan diri sendiri mereka tanpa ragu-ragu akan menolaknya.

Bila saya tanya apa perubahan yang rakyat harapkan dari UMNO, dia menjawab "macam-macam". Contohnya ialah Kerajan Pusat perlu menjadi kerajaan yang gentlemen, jangan bermusuh dengan Kerajaan Negeri yang dikuasai PR. Hormati keputusan rakyat yang memilih PR dengan menyalurkan peruntukan sama-rata kepada Kerajaan Negeri di bawah PR, menerapkan kebebasan media, mengelakkan politik wang, mengelakkan ahli politik peringkat atasan terbabit dalam perniagaan yang menyebabkan mereka tiada masa mendampingi rakyat, jangan berlagak elit di hadapan rakyat dan lain-lain sifat menarik .

Bila saya katakan UMNO pasti akan mengkoreksi diri dan berubah selepas ini, rakan itu tidak percaya dan berkata, "Jika nak berubah, UMNO dah lama berubah sejak lepas PRU dulu lagi. Tapi UMNO tak berubah. Jika UMNO berubah, aku berani potong jari ini!" sambil menunjukkan jari telunjuknya. Ngeri saya mendengar kata-katanya yang berani mengorbankan jarinya itu. Nampaknya dia yakin benar UMNO tidak akan berubah! Dalam hati saya berharap UMNO benar-benar tidak berubah bagi menyelamatkan jari rakan saya itu terputus!!

3 comments:

Gelombang Rakyat said...

Mereka kata mahu berubah. Tetapi mereka tidak pun berubah. Maka, sama ada mereka berubah atau tidak berubah, pandangan kita terhadap mereka tetap tidak berubah.

Anonymous said...

kalau hampa nak tau,puak2 akar umbi UMNO yg dok tolong parti PR,tak pernah tanya pulak pasai duit,tapi kalau nak kena tolong parti depa,mesti tanya duit dulu,hampa paham ka,apa maknanya,kalau tau takpa.

Anonymous said...

kalau hampa nak tau,puak2 akar umbi UMNO yg dok tolong parti PR,tak pernah tanya pulak pasai duit,tapi kalau nak kena tolong parti depa,mesti tanya duit dulu,hampa paham ka,apa maknanya,kalau tau takpa.