Seorang Ahli MT Umno serah diri di pejabat SPRM Temerloh

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno menyerah diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Temerloh, hari ini.

Ahli MT berusia 40-an itu yang dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berkaitan dakwaan menyogok beberapa perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno, Mac ini, hadir seorang diri di pejabat berkenaan, kira-kira jam 9.30 pagi dengan menaiki Mercedes putih.

Beliau memberi keterangan hampir lapan jam dan dilihat keluar dari pejabat itu, kira jam 5.30 petang.

Difahamkan, setakat ini SPRM sudah mengambil keterangan lebih 35 individu termasuk ahli Umno Temerloh dan Maran berhubung kes politik wang yang didakwa membabitkan ahli MT itu.

Menurut sumber, seorang lagi ahli Umno di Pahang berusia 50-an turut ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan, menjadikan 13 orang ditahan sehingga kini.

Akhbar hari ini melaporkan 12 ahli Umno, termasuk seorang wanita ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Maran dan Temerloh kerana didakwa menerima antara RM300 hingga RM500 seorang sebagai sogokan supaya mengundi ahli MT itu yang akan bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan Mac ini.

Pengarah SPRM Pahang, Sutinah Sutan, ketika dihubungi di Kuantan enggan mengulas dan menamakan individu yang akan didakwa berhubung kes itu.

"Bukan semua ditahan kerana ada juga saksi yang bukan ahli Umno turut dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya. - Bharian

No comments: