Adik ipar bekas MB didakwa gelapkan RM1j

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang juga adik ipar kepada bekas menteri besar didakwa menggelapkan wang syarikatnya di Seri Kembangan, Selangor membabitkan lebih RM1 juta.

Ahli perniagaan itu juga dikatakan menggunakan nama abang iparnya untuk kepentingan dirinya, membelikan kenderaan mewah dan menyewa kediaman eksklusif.

Kegiatan ahli perniagaan itu bagaimanapun berjaya dikesan rakan kongsinya selepas bank menghantar notis saman berikutan gagal melunaskan pinjaman yang dibuat atas nama syarikat.

Rakan kongsi ahli perniagaan itu yang hanya ingin dikenali sebagai Din berkata, beliau membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan tindakan rakan perniagaannya yang bersikap seolah-olah lepas tangan dan enggan bertanggungjawab.

“Saya menerimanya sebagai rakan kongsi selepas abang iparnya meminta kami membimbingnya dalam bidang perniagaan.

“Atas dasar memberi peluang, saya menyerahkan sepenuhnya urusan syarikat kepadanya. Saya juga menjadi penjamin apabila dia mahukan modal tambahan untuk syarikat. Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati semua wang yang dipinjam berjumlah lebih RM1 juta itu digunakan untuk tujuan lain.

“Saya juga terpaksa merayu kepada bank agar tidak menyenaraihitamkan nama saya dan syarikat,” katanya. - Bharian

No comments: