PTG jawab isu pasir
Utusan |
Pasir yang dikorek di Punggai adalah silika, bukannya pasir sungai atau pasir daratan dan ia boleh dieksport selain digunakan dalam negara.
Merujuk mengenai pengeluaran pasir di Punggal seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan, Pejabat Tanah dan Galian Johor ingin menjelaskan bahawa pasir yang dimaksudkan adalah pengeluaran silika. Ia bukan pengeluaran pasir sungai mahupun pasir daratan.
Tanah berkenaan yang diusahakan untuk pengeluaran silika itu adalah milik swasta dan mereka sendiri yang mengusahakannya. Sampel pengeluarannya telah dihantar ke makmal dan pihak Jabatan Mineral dan Geosains telah mengesahkan ia adalah silika. Oleh itu, ia dibenarkan untuk tujuan eksport selain untuk kegunaan dalam negara.
Lapisan silika yang boleh dan sesuai diusahakan hanyalah di antara paras dua (2) hingga empat (4) kaki di bawah aras tanah. Lapisan atas sekali adalah tanah kotor dan hitam serta akar-akar kayu yang digunakan semula untuk menimbus kawasan silika yang telah diusahakan.
Perusahaan silika ini sememangnya telah mendapat kelulusan laporan kajian kesan alam sekitar (EIA). Malah pengeluaran silika di kawasan tersebut telah diusahakan untuk kali ketiga dengan kali pertama pada tahun 1960-an dan kali kedua pada tahun 1980-an. Pengeluaran silika sebanyak tiga kali itu membuktikan ia tidak memberi kesan kepada tanah tersebut dan persekitarannya.
Letupan
Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi serta Pejabat Tanah Daerah Kecil Pengerang sentiasa memantau kerja-kerja pengeluaran tersebut secara berkala.
Mengenai perusahaan kuari di Teluk Ramunia, ia melibatkan lima plot yang dimiliki PERISIND Holding anak syarikat Perbadanan Islam Johor. Dua daripada plot itu digunakan sebagai tapak kilang memproses manakala tiga lagi adalah bagi tujuan pengambilan batu, bagaimanapun ketika ini hanya dua daripada plot berkenaan yang beroperasi. Tempoh pajakan adalah selama 21 tahun berakhir pada tahun 2023.
Kerja-kerja letupan di kuari berkenaan bukanlah dilakukan setiap hari. Sebagai contoh, sepanjang operasi tahun 2008, selama 10 bulan pertama hanya 15 kali letupan dilakukan pada sebuah kawasan kuari, manakala 10 letupan di satu lagi kawasan.
Kawasan kuari berkenaan adalah bekas lombong bauxite yang diusahakan oleh Promet Fabrication Sdn. Bhd. sehingga September 2000. Tiga kawah besar yang dilaporkan wujud di kawasan tersebut, sebenarnya terbentuk ketika ia diusahakan sebagai lombong bauxie. Kerja-kerja kuari yang disambung selepas itu tidak melibatkan kawah yang dimaksudkan.
Tidak ada dikenakan syarat timbus rata dalam kerja-kerja perlombongan dan perusahaan kuari. Bagaimana pun pihak Pejabat Tanah dan Galian akan memanggil pengusaha supaya membuat kerja menimbus semula selepas kawasan itu tidak lagi diusaha hasil.
Batu yang dikeluarkan daripada perusahaan kuari adalah dibenarkan untuk dieksport jika ianya tidak melebihi 9 inci diameter.
Ini bermakna semua kerja-kerja perusahaan kuari dan pengeluaran silika adalah mematuhi semua prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
– HAJI OBET TAWIL,
b/p Pengarah Tanah dan Galian Johor.
No comments:
Post a Comment