Patut bubar - Prof Shad Saleem

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Sultan Perak berkuasa memecat Menteri Besar sekalipun MB enggan meletak jawatan selepas diperintahkan berbuat demikian, kata seorang pakar perlembagaan hari ini.

Bagaimanapun, kuasa berbuat demikian tidak terdapat dalam peruntukan perlembagaan negeri Perak tetapi daripada Akta Interpretasi yang menyatakan kuasa melantik termasuk kuasa memecat, kata Prof Dr Shad Saleem Faruqi.

"Artikel 16 Fasal 7 Perlembagaan Negeri Perak menyebut seseorang anggota majlis selain MB (Menteri Besar) memegang jawatan atas perkenan Sultan. Dengan lain perkataan, MB tidak boleh dipecat.

"Tetapi Artikel 16 Fasal 6 menyebut jika beliau hilang kepercayaan beliau mesti meletak jawatan. Jadi kawasan kelabu ialah apa berlaku jika beliau tidak meletak jawatan," katanya bila dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata dua peruntukan yang berasingan nampaknya bercanggah jadi seseorang itu perlu melihat di luar Perlembagaan Perak dan kepada Akta Interpretasi, yang menyebut kuasa untuk melantik termasuk kuasa memecat.

"Dalam situasi di mana orang berkenaan (MB) tidak mahu berundur tetapi kalah, Sultan mempunyai kuasa untuk memecat.

"Saya yakin baginda tidak suka (memecat MB) tetapi seluruh dunia memerhati, kerajaan tumbang bukan kerana mandat popular tetapi akibat perbuatan melompat parti.

"Saya yakin Tuanku amat dukacita dengan semua ini, tapi baginda dalam dilema, baginda perlu mempunyai sebuah kerajaan tetapi terdapat kebuntuan jelas," kata beliau.

Prof Shad Saleem berkata beliau lebih suka kepada pembubaran (dewan negeri) untuk membolehkan rakyat buat keputusan tetapi langkah itu melibatkan belanja besar dan gangguan yang membebankan rakyat, yang pastinya telah diambil kira oleh Sultan semasa membuat keputusan.

Profesor itu diminta mengulas keengganan MB Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan walaupun setelah diarah berbuat demikian dengan segera oleh Sultan Azlan Shah.

Satu kenyataan dari pejabat Sultan Perak berkata jika Mohammad Nizar tidak berundur, jawatannya sebagai Menteri Besar Perak bersama jawatan anggota-anggota exco negeri akan dianggap telah dikosongkan.

Prof Shad Saleem bagaimanapun berkata keengganan Mohammad Nizar itu bukan satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman.

-- BERNAMA

1 comment:

tok ggawo said...

salam tuan tanah !


INNALLAH HA MA’ASSOBIRIIN !