RAJA DAN DEMOKRASI

1. Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.

2. Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain. Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi di kali ini. Ucapan saya ketika di Parlimen di masa itu antara lain berbunyi: “Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri.”

3. Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.

4. Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.

5. Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.

6. Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak. Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman. Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas. Firman Allah S.W.T. bermaksud : “Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam.” (Surah Al An’aam: Ayat 45).

Wallahua’lam.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

1 comment:

tok iskandar said...

Seperti dijangkakan keputusan Sultan Perak memihak kepada Najib dan Nizar telah dititahkan meletakkan jawatannya sebagai MB.

Tok tak pertikaikan keputusan baginda Sultan Perak tetapi rata-rata rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip Demokrasi tidak berpuas hati dan menganggap ini sebagai satu sejarah hitam dalam amalan Demokrasi di Malaysia.

Bagi Tok,Nizar masih boleh pertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dengan tidak meletakkan jawatannya sebagai MB Perak.Kerajaan Pakatan Rakyat Perak masih ada waktu untuk berbuat sesuatu sehingga Dewan Undangan Negeri Perak bersidang dan usul tidak percaya ditujukan kepada Nizar dan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Ketika itu,Dewan Undangan Negeri Perak terpaksa dibubarkan dan satu pilihanraya terpaksa dijalankan.

Tok tak faham kenapa Sultan Perak boleh mengarahkan MB Perak letak jawatan dan kosongkan pejabatnya.MB dan kerajaan Pakatan Rakyat Perak dipilih rakyat Perak dan bukannya oleh SPR,Mahkamah dan Sultan Perak.

Kepada semua penyokong Pakatan rakyat,marilah kita bersama-sama ke kediaman MB Perak dan solat hajat perdana di Stadium Ipoh malam ini.Kuasa rakyat lebih jitu daripada kuasa Raja Monarki Berpelembagaan.

Tok bimbang kelak rakyat Malaysia semakin hilang rasa hormat terhadap Raja-Raja Melayu yang seolah-olah membiarkan dikuasai Kerajaan Pusat UMNO-BN.

Dunia sedang memerhatikan lagak kerajaan UMNO-BN yang tidak menghormati perjalanan sistem demokrasi.

Polis perlu bersikap neutral dan jangan provokasi rakyat kerana tindakan sebegini tidak menguntangkan sesiapa dan dibimbangi berlaku darurat.

Baginda Tuanku Sultan Perak wajar memikirkan perkara ini semasak-masaknya dan perlu mengambilkira kepentingan rakyat Perak dalam hal ini.